Kanser dalam Kalangan Kanak-kanak
11 January 2020

Kanser pada kanak-kanak jarang berlaku, tetapi ibu bapa tidak boleh memandang ringan penyakit ini. Di Amerika Syarikat, sebanyak 15,600 kes baharu melibatkan kanser dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur antara 0 dan 19 tahun. Di Malaysia, purata 750 hingga 800 kes baharu direkodkan setiap tahun.
Pakar Perunding Hematologi dan Onkologi Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr Eni Juraida Abdul Rahman berkata tanda-tanda awal kanser dalam kalangan kanak-kanak sukar dikenal pasti kerana ia kadangkala menyerupai jangkitan dan trauma biasa yang sering berlaku pada kanak-kanak.
Terdapat beberapa gejala yang menunjukkan bahawa kanak-kanak mungkin menghidap kanser dan ibu bapa mesti menyedarinya. Antara tanda-tandanya termasuk demam yang berterusan atau berulang, pucat dan pendarahan pada kulit seperti lebam atau dari hidung, gusi dan dalam air kencing.
Jika bulatan tengah mata (anak mata) kanak-kanak kelihatan putih, ia mungkin merupakan gejala kanser mata atau retinoblastoma. Selain itu, mata yang kelihatan memandang ke arah yang berbeza dan bengkak mungkin merupakan tanda-tanda kanser yang melibatkan otot mata.
"Jika kanak-kanak menunjukkan mana-mana tanda-tanda ini atau jika simptom-simptom itu berterusan, atau jika ia berlaku terlalu kerap dan tanpa sebab tertentu, ibu bapa harus membawa anak mereka berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut," kata Dr Eni Juraida.
Kanser pada kanak-kanak dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kanser yang melibatkan sistem darah seperti leukemia dan limfoma dan kanser pepejal di otak, buah pinggang, hati, tulang dan otot.
Leukemia berasal dari sel darah dalam sumsum tulang. Ia adalah penyakit sistemik yang tidak dikelaskan mengikut peringkat tidak seperti kanser di buah pinggang atau tulang yang mempunyai peringkat.
Kanser yang paling biasa dihidapi oleh kanak-kanak ialah kanser darah atau leukemia, dan tumor otak. Namun, jenis kanser yang menyerang kanak-kanak tidak jauh bezanya dengan kanser yang dihadapi oleh orang dewasa.
“Leukemia merupakan kanser yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dengan hampir 30% daripada mereka menghidap penyakit ini. Ini diikuti oleh kanser otak yang menyumbang hampir 25% daripada semua kanser dalam kalangan kanak-kanak.
"Genetik merupakan faktor risiko penyumbang kepada kanser pada kanak-kanak tetapi risikonya adalah rendah. Sehingga kini, punca kanser pada kanak-kanak masih belum diketahui berbanding orang dewasa yang sering dipengaruhi oleh gaya hidup tidak sihat," kata Dr Eni Juraida.
Dengan penggunaan teknologi pada masa kini, pakar sakit puan dan obstetrik dapat mengesan pertumbuhan tumor pada janin dan jika tumor dikesan pada peringkat ini, pakar akan memantau kehamilan, proses kelahiran dan rawatan bayi. Tumor boleh ditentukan sama ada kanser atau tidak hanya melalui pemeriksaan tisu atau biopsi yang biasanya dilakukan selepas kelahiran.
Dr Eni Juraida menasihatkan ibu bapa agar tidak berlengah berjumpa doktor jika mereka mendapati anak mereka menunjukkan sebarang tanda atau gejala kanser yang berterusan. Adalah dinasihatkan untuk meneruskan rawatan tanpa berlengah kerana kanser boleh merebak dari semasa ke semasa dan rawatan yang cepat dapat membantu mengurangkan risiko dan meningkatkan peluang pemulihan.
"Tidak dapat dinafikan bahawa rawatan kanser pada kanak-kanak adalah sukar dan memerlukan banyak kesabaran dan pengorbanan. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang menghidap kanser mempunyai peluang pemulihan yang tinggi. Ibu bapa perlu mempercayai doktor untuk melakukan rawatan bagi memastikan kejayaannya," katanya.
Sumber: Berita Harian
Kembali

