Di Sebalik Tugas Seorang Jururawat: Cabaran, Pengorbanan dan Detik Paling Bermakna

15 July 2026

Nurhadirah, kejururawatan

Sejak zaman sekolah lagi, Nurhadirah Binti Hafizi sudah menyimpan impian untuk menceburi bidang yang membolehkannya memberi manfaat dan membawa perubahan positif dalam kehidupan orang lain. Demi mencapai impian ini, beliau telah memilih bidang kejururawatan. 

Bagi Nurhadirah, kejururawatan bukan sekadar sebuah profesion, tetapi satu amanah yang memberikan tujuan dan kepuasan dalam kehidupannya.

Kini, sebagai seorang jururawat wad nurseri di Sunway Medical Centre, Sunway City, beliau menyentuh kehidupan pesakit dan keluarga mereka melalui penjagaan yang penuh belas ihsan, empati serta dedikasi. Setiap interaksi, walaupun kecil, menjadi peluang untuk memberikan sokongan, keselesaan dan harapan kepada mereka yang memerlukan.

Hadir Pada Saat Pesakit Paling Memerlukan

Bagi Nurhadirah, tugas sebagai seorang jururawat bukan sekadar memberikan rawatan, tetapi turut berada di sisi pesakit ketika mereka melalui detik-detik yang paling mencabar.

Kadang-kadang, kehadiran seorang jururawat yang sudi mendengar sudah cukup untuk memberikan ketenangan dan keyakinan kepada pesakit. Bagi beliau, menjadi seseorang yang boleh dipercayai pada saat-saat sukar merupakan satu tanggungjawab yang amat bermakna.

“Setiap perkongsian daripada pesakit, sama ada tentang kesakitan yang mereka lalui mahupun penghargaan yang diberikan, menjadi sumber kekuatan dan inspirasi untuk saya,” kata Nurhadirah. 

Detik Kecil Yang Dekat Di Hati

Sebagai jururawat di wad nurseri, antara detik yang paling dekat di hati Nurhadirah ialah apabila dapat menyerahkan bayi yang baru lahir kepada ibu bapanya buat kali pertama.

“Melihat wajah ibu bapa yang dipenuhi kasih sayang, keikhlasan dan kegembiraan merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik istimewa dalam kehidupan sebuah keluarga,” kongsinya.

Menurut Nurhadirah, melihat bagaimana kehadiran seorang bayi kecil mampu menyentuh hati ibu bapanya merupakan pengalaman yang tidak ternilai dan sentiasa mengingatkannya tentang keistimewaan profesion ini.

Cabaran Yang Tidak Selalu Terlihat

Di sebalik detik-detik indah itu, kehidupan sebagai seorang jururawat dipenuhi cabaran yang mungkin tidak disedari ramai.

Syif yang panjang, jadual kerja yang sering berubah-ubah serta tuntutan tugas klinikal memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi. Namun begitu, dalam apa jua keadaan, Nurhadirah tetap perlu mengekalkan profesionalisme dan memastikan kebajikan serta keperluan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.

Bagi beliau, setiap cabaran yang ditempuhi bukan sekadar ujian, tetapi juga peluang untuk membentuk dirinya menjadi seorang jururawat yang lebih cekal, matang dan berdaya tahan.

Menjaga Diri Untuk Terus Menjaga Orang Lain

Mengimbangi kerjaya dengan kehidupan peribadi bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya selepas melalui hari yang mencabar di tempat kerja.

Selepas bertugas, Nurhadirah akan memastikan beliau mendapat rehat yang mencukupi, meluangkan masa menikmati rawatan spa sebagai satu bentuk penjagaan diri, serta menghabiskan masa bersama insan tersayang. Semua ini membantunya memulihkan tenaga beliau supaya dapat kembali bertugas dengan semangat yang baharu.

Beliau percaya bahawa menjaga diri sendiri adalah penting supaya dapat menjaga orang lain.

“Selepas melalui syif yang memenatkan, saya akan mengambil masa untuk menenangkan fikiran dan memastikan segala urusan kerja diselesaikan sebelum melangkah pulang,” kata Nurhadirah.

Dengan itu, beliau dapat berehat dengan lebih tenang dan kembali bertugas dengan penuh tenaga dan fokus. 

Pesanan Buat Bakal Jururawat

Buat mereka yang bercita-cita untuk bergelar jururawat, Nurhadirah berpesan agar sentiasa menganggap kejururawatan sebagai satu perjalanan pembelajaran yang berterusan.

“Setiap individu mempunyai rentak pembelajaran dan perkembangan yang berbeza. Pada peringkat awal, cabaran dan kesilapan adalah sebahagian daripada proses sebagai seorang jururawat. Berikan diri sendiri masa untuk menyesuaikan diri, belajar dan terus berkembang,” kata Nurhadirah.

“Selagi anda memiliki sifat belas kasihan, empati dan keikhlasan untuk membantu orang lain, anda sudah mempunyai asas yang kukuh untuk menjadi seorang jururawat yang cemerlang.”

Calonkan Seorang Jururawat Untuk Anugerah DAISY

Di sebalik setiap proses pemulihan, ada insan seperti Nurhadirah yang sentiasa hadir dengan penuh dedikasi dan keikhlasan. Jika anda mengenali seorang jururawat yang telah menyentuh hati anda atau insan tersayang, inilah masanya untuk menghargai jasa mereka.

Klik butang di bawah untuk calonkan mereka untuk Anugerah DAISY.